7.4. Kaedah Perlantikan Khalifah

Selepas pembentangan ringkas mengenai sejarah perlantikan Imam di zaman para sahabat maka melalui panduan mereka kita akan bincangkan  mengenai cara perlantikan Imam iaitu dua cara:

Pertama: Cara Pemilihan

Mereka yang mebuat pemilihan ialah ahli halli wa al-‘aqdi iaitu cara yang berlaku dalam perlantikan Abu Bakar dan Ali (r.a.)

Kepentingan cara pemilihan:

Imam atau khalifah ialah wasilah bukannya matlamat, iaitu wasilah untuk melaksanakan amar makruf dan anhi munkar dalam bentuknya yang luas. Tugas ini merupakan kewajiban setiap peribadi umat dimana tidak akan dapat ditegakkan dengan sempurna melainkan dengan adanya seorang imam yang mentadbir dan menyusun kearah terlaksananya tugas yang besar ini.

Oleh itu umat bertanggung jawab melantik seseorang bagi mengganti mereka mentadbir urusan ini dan diserahkan kepadanya ketaatan serta sokongan untuk dipimpin kearah mencapai  matlamat besar yang menjadi kewajiban setiap muslim secara umumnya.

Tanggungjawab melantik Imam ini kembali kepada umat kerana Imam adalah pengganti umat namun begitu keadaan umat yang tinggal berselerak, berjauhan, berbagai-bagai kemampuan keilmuan, yang lemah, yang cerdik dan sebagainya maka tanggungjawab ini menjadi bebanan golongan ulama’, cendikiawan dan golongan yang mulia dikalangan umat, merekalah yang akan memilih sesiapa yang mereka lihat berkelayakan bagi memikul tanggungjawab syarak ini yang menuntutnya melaksanakan hukum-hukum syarak dan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar keseluruh muka bumi yang di diami.

 Segalanya ini menjelaskan kepentingan  cara pemilihan dalam melantik Imam malah ini dikirakan cara asas kerana perlantikan imam secara warisan atau perlantikan imam sebelumnya disyaratkan persetujuan oleh ‘ahli al halli wa al-‘aqd’.

Cara Pemilihan ini bertepatan dengan sunnah dan ijma’.

i. Sunnah:

Perbuatan nabi (s.a.w.): Rasulullah (s.a.w.) telah wafat tetapi baginda tidak menaskan dengan lafaz yang nyata terhadap perlantikan khalifah selepasnya ini jelas dengan kata-kata Umar.

“Sekiranya aku melantik khalifah menggantiku sesungguhnya telah melakukannya seseorang yang lebih baik dariku – iaitu Abu Bakar- sekiranya aku biarkan sesungguhnya telah membiarkannya seseorang yang lebih baik daripadaku – iaitu nabi (s.a.w.) -”[1]

Nyata daripada kata-kata ini bahawa rasulullah (s.a.w.) telah menyatakan kewajiban melantik imam tetapi setelah kewafatannya baginda tidak melantik sesiapapun maka mestilah dibuat pemilihan maka ini menunjukkan masyru‘iah pemilihan.

Antaranya ialah perbuatan khulafa’ al- Rasyidin (r.a.) sebagaimana diceritakan dan kita diperintahkan mengikut sunnah mereka dan mencontohi Abu Bakar dan Umar (r.a.). Umar al-Khattab pernah berkata:

“Sesiapa yang berbai’ah kepada seorang lelaki tanpa mesyuarat dengan muslimin maka janganlah diikutinya dan orang yang dibai’ahkannya..keduanya akan dibunuh.”[2]

ii. Ijma’:

Kita telah membentangkan sejarah perlantikan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali dan kt tidak dapati seseorangpun sahabat yang menentang cara perlantikan mereka malah tidak terdapat riwayat yang mengkritik cara perlantikan khulafa’ ar-rasyidin.

Imam an-Nawawi mengatakan bahawa: “mereka telah berijma’ dalam perlantikan khalifah secara perlantikan dan secara dipilih oleh ahli al halli wa al-`aqdi bagi sesiapa yang tidak dilantik oleh khalifah sebelumnya.”[3]

Sebaliknya kaum Syiah berpegang dengan pendapat bahawa perlantikan Imam mesti dengan nas.

 

Ahli al- Halli Wa al-‘Aqdi

Siapakah ahli al-halli wa al-aqdi, apakah syarat-syarat mereka, adakah disyaratkan jumlah tertentu dan apakah tugas mereka?

Mereka ialah sekelompok manusia yang memiliki ketinggian agama dan akhlak, mengetahui hal-hal manusia dan cara mentadbir. Mereka juga dinamakan ahli al-ikhtiar ( pemilih ), ahli syura, ahli fikir dan tokoh pentadbir sebagaimana ditentukan sebahagian ulama’ iaitul: “ para ulama’, pimpinan, ketua-ketua kaum yang mudah berhimpun.”[4]

Kepada merekalah diwakilkan urusan melihat mengenai perkara yang berkaitan dengan kemaslahatan umat, agama mereka dan dunia mereka termasuklah memilih Imam kepada muslimin.

 

Masyru‘iah Iktibar Ahli al-Halli wa-al-‘Aqd ( Hujjah Syarak)

i. Dalil Quran:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah al-rasul dan ulil amru di kalangan kamu.”[5]

Ulil Amru ialah ulama’ dan umara’.[6]

ii. Sunnah:

Sabda rasulullah (s.a.w.): “Keluarkanlah kepadaku daripada kamu 12 orang naqib supaya melaksanakan kepada kaumnya apa yang diperintahkan kepada mereka.” (kepada al-Ansor dalam bai’ah Aqobah kedua).[7]

 

Syarat-syarat Ahli al-Halli wa al-‘Aqd’ dan para Uli al-Amr.[8]

Syarat-syarat umum pada seluruh wilayah dalam daulah Islam.

1.  Islam

2.  Berakal

3.  Lelaki

4.  Merdeka

5.  Adil

6.  Berilmu

7.    Bijaksana dan hikmah

Tugas ‘Ahli al-Halli wa al-‘Aqd

1.  Memilih khalifah dan berbai’ah untuknya.

2.   Membezakan antara dua orang yang dicalunkan sebagai khalifah.

3.  Berbai’ah kepada yang lebih memberi manfaat.

4.  Memecat khalifah.

 

Cara Kedua: al-‘Ahd; Perlantikan Oleh Khalifah Terdahulu

Di antara cara perlantikan Imam ialah ‘al-‘ahd iaitu perlantiakan atau pewarisan tugas khalifah daripada khalifah terdahulu kepada sesiapa sahaja yang dipulihnya di kalangan muslimin. Iaitu apabila seseorang khalifah merasai kehadiran ajalnya dan dia ingin mewariskan tugasnya kepada seseorang maka hendaklah beliau bermesyuarat dengan ahli al-halli wa al-‘aqd terhadap sesiapa yang dipilihnya maka sekiranya pemilihannya itu dipersetujui oleh ahli al-halli wa al-‘aqd maka bolehlah diwasiatkan kepadanya.

 

Takrif ‘al-‘Ahd

Al-‘ahd bererti janji, iaitu semua yang dijanjikannya dengan  Allah keatasnya, semua janji yang dinyatakan oleh seorang hamba adalah al-‘ahd, Ia juga bererti wasiat. Ia juga bererti menyerahkan sesuatu kepada seseorang.

 

Takrif Al ‘Ahd Pada Istilah

Iaitu pewasiat memilih seseorang yang tertentu untuk melakukan tugas tertentu daripada tugas-tugas kerajaan bermula daripada kepimpinannya sehinggalah serendah-rendahnya. Pemilihan ini dinamakan ‘ahd. Kemudian ianya ditulis dengan disebut oleh pewaris atau ditulis sendiri.

 

Hukum dan Dalil

Hukumnya adalah harus pada syarak, dan di antara cara yang disyariatkan dalam melantik imam sekiranya cukup syarat-syaratnya..

Antara dalilnya:

1.  Sabda rasulullah (s.a.w.): “Sesungguhnya aku berazam supaya diutuskan utusan kepada Abu Bakar dan anaknya lalu aku wasiatkan khalifah kepadanya, bahawa berkatalah yang berkata atau bercita-cita orang yang bercita-cita kemudian aku berkata:Allah tidak menghendaki dan orang-orang beriman menolaknya atau Allah yang menolaknya dan engganlah orang yang beriman.” (Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini jelas bahawa nabi ada  berhasrat untuk membuat wasiat perlantikan khalifah kepada Abu Bakar tetapi ditinggalkannya kerana telah mendapat ilmu daripada Allah bahawa orang-orang yang beriman tidak akan memilih selainnya.

2.  Ijma’ para sahabat sebagaimana cara yang pertama juga.

Walaubagaimanapun perlantikan ini tidak boleh dilaksanakan melainkan setelah berlaku bai’ah daripada umat. Kerana inilah amalan para sahabat (r.a.) terhadap perlantikan Abu Bakar al Siddiq, Umar al-Khattab- Uthman al Affan dan Ali Abu Thalib.

Ali bin Abu Thalib berkata: “ Tidak sah perlantikan Imam melainkan dengan bai’ah oleh muslimin.”

 

Syarat sah wasiat perlantikan Imam

1.  Seseorang yang dilantik itu memenuhi syarat-syarat seorang Imam.

2.  Penerimaan orang yang dilantik.

3.  Kewujudan seseorang yang dilantik.

4.  Kekuasaan Imam yang melantik masih ditangannya.

5.  Bermesyuarat dengan ahli al halli wal ‘aqdi.

Perlantikan ini berlaku sama ada kepada seorang sebagaimana perlantikan Umar sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dimana jawatan Imam disyurakan di antara enam orang yang layak.

 

Mewasiatkan Imam Kepada Bapa atau Anak

Terdapat tiga pandangan mengenai perkara ini:

Pertama: Mengatakan tidak boleh; dengan diqiyaskan kepada syarat saksi dan hakim kerana tidak diterima penyaksian seseorang untuk membela anak atau bapanya.

Pendapat kedua mengatakan harus kerana kuasa imam tidak terbatas kepada sesiapa sahaja.

Pendapat ketiga hanya mengharuskan pewarisan pemerintahan hanya kepada bapa sahaja.

Pendapat yang rajih ialah pendapat pertama kerana itulah seerah khulafa’ al-rasyidin.

Walaubagaimanapun mereka yang mengatakan harus mewasiatkan khalifah atau imam kepada anak atau bapanya juga meletakkan syarat untuk memelihara kemaslahatan muslimin. Begitulah yang dilakukan oleh Muawiyah (r.a.) apabila mewariskan khalifah kepada anaknya Yazid walaupun masih ada sahabat yang lain yang berkelayakan, tetapi oleh kerana kebimbangannya kepada berlakunya fitnah kali kedua dalam pemilihan khalifah maka diwasiatkan kahlifah kepada anaknya Ini ialah kerana dia menyedari bani Umayyah tidak akan membenarkan khalifah diberikan kepada orang lain

Walau bagaimanapun sekelian ulama’ sepakat bahawa tugas Imam tidak boleh diwarisi tetapi dibolehkan memilih yang kurang berkelayakan kerana memelihara kemaslahatan umat.[9]

Ibnu Khaldun berkata: “Sekiranya tujuan mewariskan imam kepada anak kerana ingin memelihara kekuasaan qabilah maka ianya bukanlah daripada maqsid agama, kerana Imamah merupakan perintah Allah yang diberikan kepada sesiapa yang disukainya, oleh itu perlulah diperbetulkan niat, bimbang akan berlaku kepincangan dalam urusan pimpinan agama, sesungguhnya kekuasaan milik Allah diberikan kepada seiapa yang dikehendakinya.”[10]

Bai‘ah

Walaupun perlantikan imam itu melalui pemilihan ahli al-halli wa al ‘aqdi atau dengan cara ‘al-ahd’ tetapi tetap menjadi syarat berlakunya bai‘ah ahli ‘l halli wal ‘aqd, kemudian bai’ah umat kepada imam. Maka perlu dijelaskan apakah itu bai’ah, jenis-jenis bai’ah dan syarat-syaratnya.

Bai‘ah adalah daripada perkataan bai‘ iaitu pertukaran sesuatu dengan sesuatu dengan disertakan dengan akad, iaitulah pertukaran Imam yang menjualkan dirinya dan dengan ketaatan daripada umat.

Bai’ah ialah membuat perjanjian untuk mendengar dan mentaati imam dalam perkara yang diredai Allah.

Jenis-Jenis Bai‘ah.

1.  Bai’ah Untuk Islam.

Iaitu dalam Bai‘ah al-Nisa’ atau bai`ah `Aqobah pertama.

Jarir bin Abdullah (r.a.) berkata: “Aku berbai’ah dengan rasululillah dengan penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, menidirikan solat, mengeluarkan zakat, dengar dan taat dan menasihati muslimin.” (Bukhari dan Muslim)

2. Bai‘ah Untuk Menolong Dan mempertahankan Rasulullah (s.a.w.)

      -   Sebagaimana dalam Bai‘ah ‘Aqobah Kedua.

3.  Bai‘ah Untuk Berjihad

      i.   Sebagaimana dalam Surah Taubah ayat 111

      ii.  Sebagaimana dalam Bai‘ah al-Ridhwan.

4. Bai‘ah Untuk Hijrah Dari Mekah ke Madinah.

Mujasya’ bin Mas‘ud berkata: Aku pergi bertemu rasulullah (s.a.w.) selepas ‘Fathul Makkah’ dan aku berkata: Aku datang dengan saudaraku kepadamu wahai rasulullah (s.a.w.) adalah untuk berbai‘ah untuk berhijrah lalu rasulullah (s.a.w.) bersabda, ahli hijrah telah berlalu dengan segala masalahnya, aku berkata atas asas apa aku berbai’ah? Rasulullah (s.a.w.) menajwab: Aku berbai‘ah di atas Islam, jihad dan kebaikan.” (Bukhari dan Muslim)

5. Bai’ah Untuk Dengar Taat

Inilah bai‘ah yang dimaksudkan dalam perbincangan ini.

Ubadah bin as Samit (r.a.) berkata: Kami telah berbai’ah dengan rasulullah (s.a.w.) untuk mendengar dan taat dalam keadaan senang dan susah, suka dan benci, walaupun bebanan keatas kami dan supaya kami tidak membantah perintah orang yang berkeahlian melainkan sekiranyan kami melihat kekufuran yang nyata dan mempunyai bukti daripada Allah.” (Bukhari dan Muslim)

 

Syarat Sah Bai‘ah.

1.  Orang yang menerima bai‘ah memiliki syarat-syarat Imam.

2.  Mereka yang melakukan baia‘ah ialah ahli al halli wal ‘aqdi’.

3.  Orang yang dibai‘ahkan menerima perlantikannya, melainkan dia dipaksa kerana ketiadaan yang layak melainkan seorang

4.  Yang menerima bai‘ah hanyalah seorang.

5.  Berbai‘ah dengan kitab Allah dengan lidah dan amalan.

6.  Bebas berbai‘ah.

Cara Bai’ah

1.  Bersalaman dan mengucapkan bai‘ah.

2.  Dengan Pengucapan sahaja.

3.  Penulisan.

Bahagian  Bai’ah

1.  Bai’ah Perlantikan; tugas  ‘ahli al-halli wal ‘aqd’.

1.    Bai’ah Taat merupakan  bai‘ah umat.

 

Ketiga: Cara Kekerasan dan Perampasan Kuasa

Cara ini tidak disepakati ulama’ keharusannya.

Pertama: Tidak Sah. Iaitu pendapat, kaum Khawarij, Muktazilah dan beberapa pendapata mazhab Syafi‘iyyah

Kedua: Sah iaitu pendapat ahli al-Sunnah wa al-Jamaah.

Iaitu sekiranya Khalifah yang merampas mencukupi syarat-syarat seorang khalifah dan mendapat bai`ah sekelian rakyat.



[1] Muttafaq `Alaih.

[2] Al-Bukhari.

[3] Al-Nawawi: Syarah Soheh Muslim

[4] Nihayah al-Muhtaj.

[5] Surah al-Nisa’; ayat 59.

[6] Ibn Katsir, al-Tabari dan al-Qurtubi.

[7] Ibn Hisyam; Seerah Ibn Hisyam. Lihat juga Ibn. Saad, Tabaqat al-Kubra.

[8] Al-Mawardi.

[9] Abdullah Umar al Dimaiji; Al-Imamah al-`Udzma `Ind Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Dar al-Tibah (1997) hal.195.

[10] Ibn. Khaldun, op-cit. hal. 212.

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

%d blogger menyukai ini: