3. Muqaddimah

Siyasah Syar`iyyah merupakan satu ilmu yang berkaitan dengan implimentasi tugas khalifah Allah di muka bumi ini. Ia adalah tugas asasi manusia dijadikan dan dihidupkan di dunia ini. Pada hakikatnya tugas ini bukan sekadar mentadbir urusan manusia tetapi sebelum itu,  ia juga berkaitan dengan bagaimana hendak menjadikan manusia boleh ditadbir oleh sebuah pentadbiran yang berasaskan kepada undang-undang dan peraturan Syariat Islam. Bagaimanakah hendak menjadikan manusia yang jahil terhadap hakikat ketuhanan dan perundangannya boleh menerima hukuman Allah dalam kehidupan mereka yang bercanggah dengan kepentingan nafsu dan pemikiran mereka yang sempit? Bagaimana hendak mendisiplinkan manusia yang hidup dengan neraca pemikiran yang berbeza yang berasaskan kepada kebendaan semata-mata kepada hidup di bawah disiplin Islam yang berasaskan kepada neraca tauhid?

 

Persoalan ini ingin menonjolkan bahawa ilmu dan amalan siyasah syar`iyyah yang sebenarnya bermula daripada proses dakwah rasulullah s.a.w mengajak manusia agar menerima ketuhanan Allah dan hak-hak Uluhiyyah dan MulkiyahNya semasa di Mekah lagi sehinggalah hari kiamat. Oleh kerana ilmu berkaitan dengan fiqh ini mula disusun pada zaman pemerintahan Islam maka ulama ketika itu telah menyempitkan perbincangan mereka kepada aspek-aspek kenegaraan yang merupakan keperluan pelaksanaannya ketika itu.[1]

 

Lantaran itu topik perbincangan siyasah syariyyah di dalam kitab-kitab terdahulu mengandungi bidang perbincangan yang berkaitan dengan kenegaraan dan pemerintahan seperti ; perlembagaan negara, sistem pemerintahan, tanggungjawab pemerintah dan hak-haknya, hak-hak rakyat, undang-undang dan kehakiman, dasar-dasar negara dalam seluruh aspek; kewangan, pendidikan, pembangunan, keselamatan dan hubungan luar sahaja, dalam erti kata tidak memasukkan aspek-aspek siyasah dakwah, siyasah tarbawiyah dan pembinaan daulah dalam perbincangan mereka.

 

Oleh itu para ulama dalam membicarakan mengenai siyasah syar`iyyah hanya membincangkan mengenai ilmu yang berkaitan dengan peraturan dan disiplin pembentukan sesebuah kerajaan dan pemerintahan yang berasaskan syaria`at Islam. Perbincangannya termasuklah perkara berkenaan hukum melantik pemerintah, sifat-sifat seseorang pemerintah, cara perlantikannya, tujuan perlantikannya atau tanggungjawab seseorang pemerintah dan juga cara-cara pemerintahan, perkara yang menjadi asas perlantikan para pekerja, mentadbir sumber pendapatan dan perbelanjaannya, menyelesaikan pertikaian, menegakkan keadilan dan mewujudkan segala sistem yang berkaitan.

 

Pada sudut yang lain penulisan siyasah syar`iyyah atau pemerintaha Islam adalah untuk menjelaskannya sebagai satu alat yang amat penting  bagi menegakkan maqasid syarak di samping juga merupakan simbul perhambaan sebenar manusia kepada Allah yang dipertanggungjawabkan untuk mengabdikan diri mereka kepada-Nya terutamanya sebagai khalifah Allah di dunia ini dalam erti kata sebagai pemerintah sebuah kerajaan.

 

Tidak di nafikan bahawa dalam melaksanakan tugas khalifah ini rasulullah s.a.w juga merupakan rujukan sebenar kepada ummah dalam mentadbir urusan umum; sama ada dalam urusan perundangan, kehakiman dan juga eksekutif. Dasar rasulullah s.a.w. dalam semua urusan ini ialah wahyu yang diturunkan Allah kepadanya dan juga ijtihad dalam melihat perkara yang mendatangkan kebaikan kepada ummah. Rasulullah s.a.w. juga sentiasa bermesyuarat dengan para sahabat baginda dalam perkara yang tiada nas. Sebagaimana rasulullah s.a.w. menjadi rujukan semasa baginda menjadi pemerintah di Madinah rasulullah s.a.w. juga merupakan rujukan ummah ketika gerakan Islam masih lemah di Mekah.

 

Dengan ini rasulullah s.a.w. telah meninggalkan asas-asas yang kukuh kepada umatnya sebagai panduan dalam mentadbir urusan mereka iaitu al-Quran dan al-Sunnah kemudian baginda menunjuk jalan ketiga ketika sesuatu masalah tidak terdapat penyelesaiannya dalam al-Quran dan al-Sunnah iaitu berijtihad. Satu perkara yang penting ketika membuat satu-satu keputusan rasulullah s.a.w. jarang berijtihad bersendirian tanpa mengambil pandangan para sahabatnya. Sebaliknya baginda akan sentiasa bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya dalam semua urusannya. Banyak pendapat-pendapat para sahabat r.a. dan diterima oleh rasulullah s.a.w. dan dipakai dalam banyak situasi. Tindakan rasulullah s.a.w. ini telah menggariskan sunnah kepada umatnya agar menggunakan pemikiran untuk berijtihad dalam menghadapi masalah yang tidak ada nas.

 

Semasa hidupnya, rasulullah s.a.w. selalu mengaitkan sesuatu hukum dengan `illah dan kemaslahatannya kepada manusia dengan ini rasulullah sa.w. menunjukkan hubungan sesuatu hukum dengan maslahat dan menarik perhatian kepada bahawa matlamat syarak ialah sama ada mendapatkan kemaslahatan kepada manusia atau menghindarkan keburukan daripada mereka.

 

Tindakan rasulullah s.a.w. ini  telah meniupkan satu kefahaman dan kesedaran ke dalam jiwa umat Islam bahawa matlamat syari`at Islam ialah mendapatkan kemaslahatan dan kebaikan untuk manusia dan mengelakkan kerosakan dan keburukan daripada mereka.

 

Ternyata ruh inilah yang menjadi asas perjalanan khulafa’ al-Rasyidin r.a.a. selepas kewafatan rasulullah s.a.w. dalam mentadbir urusan ummah dalam kerajaan Islam. Seluruh tindakan mereka berpandukan al-Quran dan al-Sunnah dan apabila berlaku peristiwa baru yang tidak ada di dalam al-Quran maupun al-Sunnah mereka berijtihad menggunakan pemikiran dan kefahaman mereka seterusnya mengambil tindakan atau hukuman yang mereka dapati terdapat padanya kemaslahatan ummah dan tidak bercanggah dengan ruh Islam.

 

Banyak ijtihad-ijtihad mereka berbeza dengan ijtihad sahabat-sahabatnya, malah kadang-kadang boleh difahami bahawa ijtihad mereka bersalahan dengan dzahir nas, walaupun begitu tidak seorangpun mujtahid dikalangan mereka yang menganggap mereka terkeluar daripada kebenaran selagi matlamat ialah mendapatkan kemaslahatan dan menegakkan keadilan Allah dan menggunakan ijtihad.

 

Abu Bakar r.a. telah berijtihad dan memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat dan melantik Umar al-Khattab r.a. sebagai khalifah selepasnya. Umar al-Khattab r.a. berijtihad dan menyerahkan urusan perlantikan khalifah kepada enam orang sahabat. Beliau juga berijtihad,  tidak memberikan zakat kepada segolongan muallaf, begitu juga beliau tidak membahagikan tanah Iraq dan Syam kepada tentera, menjadikan talak tiga dengan satu lafaz jatuh talak tiga dan sebaginya. Uthman bin `Affan r.a. menanbah azan kedua pada hari Jumaat dan mewajibkan ummah hanya berpegang kepada satu mashaf. Ali Abu Thalib k.w. berijtihad dan menghukum golongan rafidah dengan membakar mereka hidup-hidup.[2]

 

Begitu juga dalam urusan kehakiman dan cara-cara mesabitkan jenayah, mereka menggunakan apa sahaja dalil yang mententeramkan jiwa mereka yang boleh membawa kepada keadilan dan kebenaran tanpa melihat kepada dalil-dalil khusus. Umar al-Khattab r.a. telah menjatuhkan hukuman rejam kepada seorang wanita yang ternyata hamil tetapi beliau tidak mempunyai suami atau tuan dengan berpada kepada tanda-tanda zahir sahaja begitu juga memotong tangan pencuri dengan menggunakan qarinah barang curi berada di tangannya[3] . Semua ijtihad Khulafa’ al-Rasyididn ini adalah berasaskan untuk memastikan kemaslahatan ummah terlaksana dan mengelakkan kemudaratan daripada mereka.

 

Selepas zaman ini para ulama telah berijtihad dan meletakkan beberapa syarat dan garis panduan kepada maslahat yang di iktibar oleh syarak. Begitu juga mereka meletakkan syarat-syarat yang ketat dalam beramal dengan maslahat yang tidak diktibarkan syarak penerimaannya atau penolakannya. Sesunggunhnya syarat-syarat ini telah mengikat kebebasan para mujtahid dan menyempitkan ruang-ruang ijtihad dan menutup banyak peluang untuk mengggunakan masalih al-mursalah atau al-Istislah sebagai asas dalam banyak perkara yang tidak dinaskan. Walaupun begitu ada dikalangan ulama yang keluar daripada kesempitan ini dengan menerima al-Istihsan dan I’tibar al-Maalat sebagai asas mengeluarkan hukum-hukum syarak.

 

Kelemahan fiqh Islam semakin memuncak dengan tindakan para ulama menutup pintu-pintu ijtihad dan mewajibkan ummah bertaqlid kepada hukum-hukum yang telah di putuskan oleh ulama silam tanpa melihat kepada perbezaan masa dan tempat. Lantaran itu berlaku perbezaan antara hukum-hukum fiqh dengan kemaslahatan manusia dalam banyak urusan hidup .[4]

 

Apabila khalifah Islam jatuh ditangan kuasa sekular, negeri-negeri Islam dijajah oleh Barat beratus tahun lamanya telah menjadikan umat Islam berada di antara kesempurnaan syariat tetapi tiada kuasa perlaksanaan. Akhirnya yang menjadi amalan umat Islam hanyalah hukum-hukum ibadah yang berkaitan dengan rukun-rukun Islam dan perkahwinan sahaja. Ilmu-ilmu berkaitan dengan, munakahat, kewangan dan muamalat Islam, hukum-hukum jenayah, siyasah syar`iyyah, amar makruf dan nahi munkar, dakwah dan jihad tidak lagi menjadi ilmu asasi yang diajar kepada umat Islam dan umat manusia di sebabkan bertentangan dengan konsep sekularisma.

 

Dalam buku ini saya berusaha untuk mendedahkan kepada pembaca pandangan ulama silam mengenai siyasah syariyyah sebagai asas kepada memahami sistem poitik  menurut kaca mata Islam.

 

Annuar Salleh

Oktober 1999

Jamadil Akhir 1420.

Kuala Lumpur.


[1] Perbincangan mengenai aspek-aspek siyasah syariyyah di zaman Makkiah dan Masa Kini akan dibincangkan oleh penulis dalam buku ke 3.

[2] Ibn Qayyim; Al-Turq al-Hukmiyyah; Kaherah, Matbaah Al-Madani, m.s. 18

[3] Ibn Qayyim, ibid. Lihat juga ; Abdul Wahhab Khallaf, opcit m.s. 11.

[4] Abdul Wahab Khallaf, ibid.

Satu Tanggapan to “3. Muqaddimah”

  1. sky_dancers@rocketmail.com Says:

    Thanks kerana mewujudkan blog ini..Satu tajuk yang sangat menarik.dan., esok adalah hari pertama kuliah siasah.Semoga blog ini dapat membantu meningkatkan kefahaman dengan izin Allah.


Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: