6. Tujuan Siyasah Syariyyah

Pemerintahan hanyalah wasilah bukannya matlamat iaitu wasilah untuk menegakkan perintah Allah dan melaksanakan amanahnya bagi membawa rahmat keseluruh alam. Sebagaimana firman Allah:

 

“Dan tidak kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat keseluruh alam.” (Al-Anbia’: 107)

Firman Allah yang bermaksud:

“Mereka yang kami berikan kekuasaan di muka bumi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada munkar dan kepada Allah kembali segala urusan.” (Al-Haj: 41)

Tujuan siyasah syar`ieyyah ialah untuk melaksanakan maqasid syarak iaitu yang terkandung di dalam perkara yang berkaitan dengan ‘jalb al-masalih’ ( mendapatkan kemaslahatan kepada manusia ) dan ‘dar’ al-mafasid’ ( menghilangkan kemudaratan daripada mereka.)

Maqasid Syarak inilah; tujuan Allah menurunkan Syariat Islam kepada manusia. Syariat Islam tidak akan dapat di sampaikan dan ditegakkan dalam kehidupan manusia melainkan dengan kuasa pemerintahan, terutamanya perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang dan sistem hidup dalam seluruh aspek kehidupan manusia.

 

·      Konsep Maqasid Syari`ah.

 

Perkataan `maqasid’ adalah kata plural kepada perkataan `maqsad’. `Qasd’ bermaksud niat tujuan, tumpuan sesuatu dalam setiap perbuatan.

Niat dalam bahasa Melayu adalah tujuan atau objektif. Dalam kitab fekah disebut sebagai tujuan sesuatu yang disertakan dalam setiap perbuatan.[1] Oleh itu Maqasid Syarak ialah tujuan-tujuan syarak, yang merangkumi tujuan-tujuan umum syarak dan tujuan-tujuan khusus sesuatu sistem syarak dan tujuan setiap perintah , larangan dan perbuatan Allah SWT secara juzi.  Berkaitan dengan persoalan ini Allah SWT ada berfirman:

 

Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu ( dari tiada kepada ada ) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ( dan tujuan ) pada ciptaan itu? Dan kamu menyangka pula tidak akan dikembalikan kepada kami” [2]

Maha suci Allah daripada melakukan sesuatu sia-sia tanpa tujuan. Sebaliknya seluruh perbuatan Allah, penurunan Syari`at Islam kepada manusia, pensyariatan hukum-hakam dan sebagainya mempunyai tujuan tertentu sama ada tujuan itu dinyatakan secara langsung oleh Allah atau difahami dengan cara istiqra’ terhadap ayat-ayat al-Quran.

Ibn `Asyur mentakrifkan tujuan umum syara’ sebagai :

 

 “ Tujuan-tujuan dan hikmah yang di dapati pada syarak di seluruh keadaan pensyari`atan atau pada sebahagian besar daripadanya di mana ia tidak hanya di dapati pada jenis hukum-hukum syarak tertentu  sahaja. Ia termasuk pada sifat-sifat syari`ah, matlamat umumnya dan tujuan-tujuan yang di dapati wujud pada syariat termasuk juga tujuan dan hikmat yang tidak kelihatan pada setengah hukum tetapi terdapat pada setengah hukum yang lain”[3]

 

Manakala Dr. `Ilal al-Fasi mentakrifkan maqasid al Syari`ah sebagai:

 

 “ Matlamat daripada pensyari`atan dan rahsia-rahsia yang ditentukan oleh syarak pada setiap hukum-hukumnya” [4]

Daripada pentakrifan ini maqasid Syariah boleh dibahagikan kepada tiga iaitu; maqasid umum, maqasid khusus dan maqasid juz’i.

Maqasid umum Syarak pula terbahagi kepada tiga ; sama ada yang berkaitan dengan memelihara perkara daruriyat, hajiyat atau tahsiniyat.[5]

Maqasid khusus ialah perkara yang menjadi matlamat syarak dalam bab atau sistem tertentu seperti hukum-hukum berkaitan dengan kekeluargaan, hukum-hukum berkaitan kewangan, kehakiman dan sebagainya. Maqasid juz’i ialah matlamat syarak dalam mewajibkan sesuatu kewajiban atau melarang sesuatu perbuatan seperti rahsia diwajibkan solat, puasa, zakat dan sebagainya.[6]

 

Maqasid Umum Syarak.

Pertama: Memelihara Maslahah Dharuriyat (KeperluanAsasi).

Maslahah daruriyat ialah maslahah yang menjadi keperluan asas kepada kehidupan manusia di dunia dan akhirat, jika sekiranya tidak dipelihara maslahah ini kehidupan manusia akan pincang dan hilang nikmat abadi. Maslahah asasi itu ialah, agama, jiwa, akal, keturunan (kehormatan) dan harta benda. Segala urusan agama dan keduniaan dibina di atas maslahah-maslahah ini dan hanya dengan memelihara kesejahteraannya sahaja kehidupan individu dan masyarakat akan berjalan dengan baik [7]

Allah telah menyatakan kepentingan maslahah daruriah ini di dalam firmannya yang bermaksud:

“Wahai nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberikan pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatupun, dan mereka tidak mencuri, mereka tidak berzina, mereka tidak membunuh anak-anak mereka dan mereka tidak akan melakukan sesuatu dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah pengampunan dosa mereka: Sesungguhnya Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani” (Al-Mumtahinah: 12)

Untuk memelihara agama, Allah mewajibkan manusia menuntut ilmu yang berkaitan dengan aqidah, ibadah dan akhlak dan melaksanakannya dalam kehidupan. Islam juga mewajibkan berjihad untuk memelihara agama dan menghukum mereka yang murtad.

Amal ibadah yang dilakukan oleh seseorang hamba akan mententeramkan jiwanya, begitu juga Islam mensyariatkan perkahwinan agar perkongsian hidup manusia lebih mencapai ketenangan sebaliknya mereka yang melakukan jenayah yang boleh membawa kepada kemusnahan jiwa manusia akan dikenakan hukuman qisas atau kifarat.

Allah menurunkan al-quran dan mengutuskan sekelian rasul untuk mengajarkan manusia dengan segala ilmu bagi memelihara akal, Islam mengajak manusia berfikir tentang kejadian diri manusia dan alam semesta, Islam menggalakkan umatnya melancung bagi melihat bukti-bukti kebesaran Allah. Islam mengharamkan semua perkara yang merosakkan akal manusia dan menghukum mereka yang mengambil sesuatu yang boleh memabukkan mereka.

Untuk mewujudkan keturunan, dan memelihara maruah Islam mensyariatkan perkahwinan, mengharamkan zina dan qazaf.

Untuk menghasilkan harta Islam mewajibkan berusaha mencari rezki, mensyariatkan muamalat diantara manusia seperti jual beli, sewa menyewa, syarikat, hutang piutang, gadaian, pelaburan dan sebagainya.

Untuk memelihara harta Islam mengharamkan judi, riba, memakan harta orang tanpa hak, mencuri dan sebagainya.

 

Kedua: Melaksanakan Keperluan Maslahah Hajiat (Perlu)

Maslahah hajiyat ialah perkara yang diperlukan kerana memberi keselesaan kepada kehidupan dan mengelakkan daripada kesempitan yang pada kebiasaannya membawa kepada kesusahan dan keserbasalahan dalam hidup, ketiadaannya tidaklah membawa kepaincangan kepada kehidupan manusia sebagaimana sekiranya ketiadaan perkara-perkara dharuriyat.

 Sekiranya tujuan ini tidak diambil-kira akan menjadikan kehidupan berada di dalam kesukaran dan kepayahan, walaupun begitu ia tidak mencapai kepada kerosakan kepada maslahat umum. Maslahat hajiyat ini wujud dalam urusan ibadah seperti hukum-hukum rukhsah, dalam adat kebiasaan seperti keharusan menikmati perkara-perkara baik yang halal seperti, makanan, pakaian, kenderaan dan tempat tinggal. Manakala dalam urusan muamalat seperti hukum jual al-salam dan dalam bab jenayah ialah seperti hukum diat kepada aqilah.[8]

Di dalam ibadah disyariatkan beberapa kemudahan (rukhsah) seperti sembahyang qasar dan jama’ bagi orang musafr, diharuskan berbuka puasa Ramadan bagi orang-orang sakit dan uzur kerana tua. Menunaiakn solat dalam keadaan duduk dan berbaring kerana uzur, gugur kewajibab solat keatas wanita haid dan nifas dan tidak diwajibkan qada’ dan sebagainya.

Di dalam adat diharuskan berburu, berriadah, bergusti, berlumba kuda dan sebagainya.

Di dalam muamalat diharuskan berbagai-bagai kontrak atau akad yang bermatlamat memenuhi hajat keperluan manusia seperti jual beli, syarikat dan sebagainya. Dalam perkahwinan dibenarkan fasakh sekiranya pasangannya tidak sesuai, ada keaiban dan menamatkan perkahwinan dengan talak dan sebagainya.

Di dalam perkara jenayah Islam memebenarkan hukum qisas atau membantu keluarga yang membunuh dengan tidak sengaja dengan membayar diat.

 

Ketiga: Melaksanakan Keperluan Maslahah Tahsinat atau Kamalat [9]

Maslahah tahsinat atau kamalat ini ialah sesuatu maslahah yang termasuk di dalam perkara yang membawa penyempurnaan hidup seperti adat-adat dan akhlak yang baik, menjauhi kekotoran dan sikap yang buruk dan melakukan amalan-amalan sunat dalam ibadah. Sekiranya tidak diberikan perhatian kepada maslahah tahsinat ini secara berterusan, akan juga berlaku kepincangan dalam kehidupan hidup manusia sebagaimana berlaku akibat pengabaian terhadap perkara-perkara daruriyat..[10]

Maslahah ini terkandung di dalam perkara-perkara sunat seperti mandi jumaat, memakai wangian untuk kemasjid, di dalam muamalat ialah larangan meminang di atas pinangan orang lain dan di dalam adat seperti adab-adab makan, adab berjiran, bertamu dan sebagainya.

Begitu juga Islam melarang umatnya membunuh paderi, meruntuh tempat ibadat memusnahkan tumbuhan di dalam peperangan.

 

Maqasid Khusus Syarak.

 

Maqasid Umum syarak tidak akan dapat dicapai melainkan melalui mekanisma tertentu untuk melaksanakannya. Lantaran itu mekanisma tersebut wajib diwujudkan dan perlu menepati tujuan-tujuan khusus syarak mengenainya. Ianya termasuklah mekanisma perlantikan khalifah, sistem pemerintahan, sistem syura, sistem keselamatan awam, sistem kehakiman, sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem kekeluargaan dan sistem-sistem sokongan lain seperti komunikasi, penyiaran dan insfrastruktur.

Lantaran itu mekanisma ini mempunyai tujuan-tujuan khusus yang dapat mencapai tujuan umum syarak. Maka penyusunan sistem pentadbiran, perlantikan pegawai-pegawai eksekutif bagi setiap institusi hendaklah daripada kalangan mereka yang berkelayakan yang mampu merealisasikan tujuan-tujuan syarak secara khusus dalam bidang tersebut sekaligus mencapai tujuan umum syarak.

Tujuan sistem kekeluargaan dalam Islam secara khusus ialah untuk mengisi keperluan fitrah manusia, disamping berperanan memelihara kemaslahatan masyarakat dan kesinambungan generasi khalifah yang akan memikul amanah Allah kepada manusia. Allah menyatakan tujuan ini dalam al-quran sebagai untuk memberikan kepada manusia nikmat sakinah[11],  mawaddah[12] dan rahmah[13]. Dalam hadis rasulullah (s.a.w.) menambah tujuannya ialah supaya melahirkan zuriat yang soleh. Untuk menjamin tercapainya tujuan ini Islam telah membimbing manusia sejak daripada memilih pasangan hidup, hubungan suami isteri, tanggungjawab mendidik anak sehinggalah persoalan pembahagian harta pusaka.

Tujuan sistem pendidikan secara khusus ialah untuk melahirkan hamba Allah yang mentauhidkan Allah, ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya, memiliki keperibadian yang mulia , bersedia dan mampu menghadapi ujian hidup yang akan ditaklifkan oleh Allah untuk manusia dan mampu berperanan dalam menjayakan misi manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Lantaran itu dasar pendidikan dan mekanisma pelaksananya mestilah bertepatan dengan tanggungjawab untuk melaksanakan tugas berdakwah dan mentarbiyah ummah kearah matlamat tersebut.

Tujuan sistem ekonomi dalam Islam ialah untuk mengawal pengagihan nikmat harta benda yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia secara hak, adil, telus dan mengelakkan pertelingkahan dikalangan manusia. Termasuk dalam sistem ekonomi Islam ialah menggariskan peraturan muamalat manusia; dalam jual-beli,  hutang-piutang, perkongsian dan sebaginya. Islam juga mengharamkan riba, akad yang mengandungi gharar[14], perjudian monopoli . Bagi golongan miskin dan tidak berkemampuan untuk mengumpul kekayaan akan juga mendapat pembiayaan melalui sistem zakat dan kharaj jizyah[15].

Sistem kehakiman dalam Islam ialah bertujuan menyelesaikan pertelingkahan di kalangan masyarakat secara adil dan menghalang manusia daripada melakukan jenayah.

Sistem keselamatan awam atau hisbah[16] adalah bertujuan untuk mengawal masyarakat daripada melakukan kesalahan dalam muamalat sesama manusia seperti mengelakkan penipuan dalam jual-beli dan sebagainya.

Sistem syura bertujuan untuk membuat dasar dan perundangan disamping menjadi mekanisma melantik dan memecat pemerintah dan menjadi penasihat kepada mereka dalam menjalankan tugas. Ahli syura dalam Islam dikenali sebagai ahli al-halli wa al-`aqdi.

Tujuan sistem pemerintahan dalam Islam ialah untuk mentadbir seluruh sistem-sistem dalam Islam dengan melantik pegawai-pegawai yang berkelayakan dan berkemampuan dan melakukan muhasabah dan bimbingan terhadap pegawainya.

Maqasid Juz’i.

Islam juga menggariskan tujuan-tujuan juzi atau hikmah disebalik tanggungjawab yang diamanahkan kepada manusia. Contohnya tujuan-tujuan pada kefarduan solat, zakat, puasa dan haji. Tujuan-tujuan diperintahkan ditulis segala akad perjanjian dan mempunyai saksi, tujuan dijatuhkan hukuman qisas hudud dan sebagainya. Tujuan-tujuan juzi ini selalu di dapati dipenghujung setiap perintah dan larangan Allah dalam al-Quran.

Amal-amal ibadah seperti solat, zakat dan haji secara khususnya bertujuan melahirkan insan bertakwa dan solat secara juzuknya bertujuan untuk berdoa, mengingati Allah disamping mengulangi penyataan kesyukuran, berikrar untuk hanya menyembah dan memohon pertolongan daripada Allah. Zakat bertujuan memebersihkan jiwa dan harta dan membantu fakir miskin. Haji bertujuan mendisiplinkan manusia agar mampu melaksanakan amanah Allah, memelihara lidahnya disamping melatih mereka agar berkorban masa dan harta dan sebagainya.


[1]  Lihat, Al-Mu’jam al-Wajiz dibawah kata dasar qasada.

[2]  Surah al-Mukminum, ayat 115.

[3]  Ibn `Asyur, Maqasid al-Syari`ah al-Islamiyah, m.s. 50

[4] `Ilal, Maqasid Al-Syaria`ah al-Islamiyah wa makarimuha hal.4

[5] Al-Syatibi, Al-Muwafaqat, jil.2, hal. 8

[6] Op-cit.

[7] Al-Syatibi; Op-cit, hal.8.

[8] Ibid m.s. 10-11

[9] Tahsinat ialah mengelokkan, kamalat ialah penyempurnaan.

[10] Ibid m.s. 10-11

[11] Ertinya ketenteraman jiwa, setengah ulama menyatakan ia bermaksud hubungan seks.

[12] Ertinya kasih-sayang

[13] Rahmat merangkumi seluruh nikmat kasih-sayang , belas kasihan, zahir dan batin khususnya kepada anak-anak.

[14] Sesuatu unsur yang tidak jelas yang boleh membawa kepada penipuan .

[15] Kharaj ialah cukai hasil bumi dan jizyah ialah cukai kepada yang diambil daripada rakyat bukan Islam.

[16] Hisbah ialah satu institusi yang melaksanakan tugas menyuruh masyarakat melakukan makruf dan melarang mereka melakukan kemungkaran.

3 Tanggapan to “6. Tujuan Siyasah Syariyyah”

  1. zulas Says:

    info berguna,,,thanks


Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: