9. Pembentukan Daulah Nubuwwah

Pedahuluan.

 

Manusia adalah masyarakat yang bertamaddun, hidup secara berkelompok dan saling memerlukan antara satu sama lain. Telah terbukti di sepanjang sejarah manusia, sudah wujud kelompok manusia yang dipimpin oleh seorang ketua sehingga membentuk kerajaan dan empayar, seperti kerajaan Rom, Parsi, Saba’, Habsyah, Mesir dan sebagainya.

 

Apabila manusia dipimpin oleh pemimpin yang tidak menjadikan wahyu Allah sebagai landasan pemerintahannya, sebaliknya hanya berasaskan kepada akalnya semata-mata akan menjadikannya lebih terpengaruh dengan keinginan hawa nafsu. Keadaan ini akan menjadikan rakyat jelata berada ditahap yang paling hina. Mereka menjadi hamba kepada manusia yang bergelar raja yang seringkali melampaui batas.Kezaliman, penindasan dan penganiayaan akan berleluasa dalam masyarakat. Manusia hidup diburu ketakutan dan dihantui dengan perasaan kebencian, dendam dan kekecewaan.

 

Lantaran itu manusia memerlukan seorang pemerintah yang menjadikan wahyu Allah sebagai panduan agar beliau dapat memimpin mereka kepada kehidupan yang harmoni. Manusia memerlukan sistem dan peraturan hidup yang dapat menjamin keadilan hak dan tanggunjawab sesama mereka. Manusia yang melakukan kesalahan dan jenayah perlu diadili dan dihukum. Mereka yang dizalimi perlu dibela dan dikembalikan hak-haknya yang telah dirampas. Semuanya ini menuntut kepada satu kuasa yang boleh mengarah dan dipatuhi. Kuasa yang menjamin keadilan untuk semua.

 

Allah s.w.t. yang menjadikan manusia dengan segala bebanan amanah di dunia ini sudah pasti tidak akan membiarkan manusia terumbang-ambing mencari-cari apakah sistem yang akan dilaksanakan bagi mencapai tujuan ini. Malah inilah tujuan manusia diciptakan oleh Allah S.W.T. supaya mereka memakmurkan muka bumi dan membangunkannya berlandaskan sistem dan panduan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Lantaran itu manusia dilantik sebagai khalifah Allah di bumi sebagai sebahagian daripada tugas memperhambakan diri kepada Allah.

 

Sistem pemerintahan yang diperlukan ini telah wujud dalam Islam, telah dilaksanakan dan telah berjaya membawa manusia menuju matlamat mereka diciptakan. Namun begitu untuk melaksanakannya umat Islam tidak melalui jalan yang mudah sebaliknya telah mengorbankan ramai syuhada’ masa dan harta benda. Rasulullah (s.a.w.) dan para sahabat (r.a.) yang bersamanya telah meletakkan asas penting kepada Daulah Nubuwwah di Madinah yang akhirnya berkembang menjadi sebab terlaksananya Rahmat Allah keseluruh alam.

 

Walaupun Barat menolak penguasaan Islam ke atas wilayahnya dan memerangi umat Islam diseluruh dunia tetapi mereka tidak dapat menolak asas-asas kemanusiaan yang telah dibawa oleh Islam.  Mereka memperjuangkan kebebasan dan hak-hak kemanusiaan yang telahpun dilaksanakan di dalam pemerintahan Islam. Hasil perjuangan mereka berlakulah revolusi Perancis yang akhirnya mengubah kehidupan dan kekuasaan Barat. Kebangkitan Barat pada akhir  abad ke 18 tidak lain daripada pengembangan ilmu yang mereka ambil daripada tamaddun keilmuan Islam. Antara ilmu yang dikembangkan ialah ilmu undang-undang perlembagaan dan dasar-dasar pemerintahan yang disesuaikan dengan pemikiran sekular mereka. Barat tidak mahu mengakui bahawa ilmu-ilmu yang mereka kembangkan adalah ilmu-ilmu Islam sebaliknya memutuskan terus seluruh ilmu itu daripada Allah S.W.T.

 

Persoalan pemerintahan, kekuasaan atau tanggungjawab sebagai khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini  telah dinyatakan oleh Allah Azza wa Jalla kepada nabi Muhammad s.a.w. sejak permulaan Islam lagi.[1] Banyak ayat-ayat Makkiah yang telah membayangkan hakikat ini dalam menceritakan perjuangan rasul-rasul terdahulu. Ada rasul-rasul yang menjadi khalifah Allah di muka bumi seperti nabi Daud dan nabi Sulaiman a.s[2]. Begitu juga kisah nabi Yusuf a.s.dan Zulqarnain[3]. Selain daripada membentangkan sifat-sifat mereka sebagai khalifah al-Quran juga menggambarkan kesannya kepada kehidupan manusia ketika itu hasil daripada keadilan mereka. Selain daripada itu al-Quran juga membawa kisah-kisah raja yang memerintah mengikut hawa nafsu dan membuat kezaliman dan kesannya kepada kehidupan rakyat seperti kisah Namrud, Firaun, Raja dalam kisah ashab al-Kahf dan ashab al-Ukhdud.

 

Semua kisah-kisah ini diturunkan di Mekah ketika dakwah rasulullah s.a.w. masih diperingkat permulaan, diperingkat mengasaskan tapak-tapak dan penegakkan tiang-tiang kepada Daulah Islamiah. Kisah-kisah ini menggambarkan bahawa tidak ada suasana rahmat dan kedamaian hidup kepada ummat melainkan di bawah kekuasaan Islam dan khalifah al-nubuwwah. Maka tugas rasulullah s.a.w sebagai pembawa rahmat keseluruh alam[4] tidak akan tercapai melainkan umat manusia berada di bawah kepimpinan wahyu Allah.

 

Namun begitu matlamat ini hanya terlaksana apabila wujudnya tanah air tertentu bagi rakyat yang beriman dengan Islam, menghayatinya, tunduk dan patuh dengan segala perintah Allah di samping wujudnya kuasa pemerintahan dengan segala kakitangannya sama ada eksekutif, penggubal undang-undang dan kehakiman yang juga menghayati tuntutan Islam.

 

Lantaran itu perjuangan rasulullah s.a.w. tidak hanya sekadar menjelaskan konsep-konsep ketauhidan, membina syakhsiah yang berakhlak tinggi dan mengembalikan perhambaan manusia kepada Allah dalam ibadah khusus semata-mata, sebaliknya baginda berusaha membentuk sistem politik dengan mengasaskan sistem pemerintahan dalam gerakannya sehinggalah tertegaknya Daulah Madinah.

 

Daulah Islam Madinah adalah daulah fikrah dan daulah wahyu. Di mana seluruh rakyat dan pemerintah beriman dengan fikrah Islam, menghayatinya, melaksanakannya dan memperjuangkannya. Ternyata Daulah ini yang tertegak buat pertama kalinya di bawah pimpinan rasulullah s.a.w. telah berkembang meluaskan ufuknya dan mewariskan rahmatnya sehinggalah jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah pada 1924 yang lalu. Dengan kejatuhan kerajaan Uthmaniah ini telah membuka jalan yang luas kepada Barat yang sudah mula bangkit sejak berlakuknya revolusi Perancis pada 1789 untuk melemahkan umat Islam dan menghalang umat Islam daripada bangkit semula menguasai pemerintahan dunia. Apabila selesai perang dunia kedua dunia-dunia Islam yang dijajah telah di bahagi-bahagikan di antara kuasa Barat yang akhirnya menerapkan seluruh sistem dan perundangan Barat ke dunia Islam hingga kini.

 

Dalam bab  ini akan dijelaskan bahawa kebanyakan teori pemerintaan yang adil mengikut pemikiran barat tidak lain dan tidak bukan adalah berasaskan sistem pemerintahan yang pernah dilaksankakan oleh rasulullah s.a.w. Oleh kerana kedegilan barat menolak Islam maka mereka hanya meletakkan neraca pemikiran manusia yang terbatas sebagai landasan pemerintahan mereka.

 

Definasi Kerajaan.

 

Ahli undang-undang perlembagaan mendifinasikan kerajaan seperti berikut:

 

Sekelompok manusia ( rakyat) yang menetap di suatu tempat secara berterusan ( tanah air) yang dikuasai oleh satu badan yang mentadbir urusan mereka di dalam dan di luar ( kuasa pemerintah)”.[5]

 

Oleh itu asas sesebuah kerajaan ialah terdiri daripada:

 

1-    Rakyat.

2-    Tanah air.

3-    Kuasa pemerintahan.

 

Daripada definasi ini di fahami bahawa masyarakat manusia yang tidak menetap disatu-satu tempat seperti qabilah-qabilah Arab Badawi tidaklah dianggap sebuah kerajaan. Begitu juga sesebuah masyarakat yang tidak memiliki kuasa tertentu dalam mentadbir urusan mereka juga bukanlah sebuah kerajaan.

 

Ternyata daripada definasi tersebut bahawa kerajaan Nubuwwah menepati perspektif sebuah kerajaan moden.

 

 


Proses Pembentukan Kerajaan  Nubuwwah.

 

Kerajaan Nubuwwah di Madinah tidak terbentuk secara kebetulan. Pembentukan berlaku setelah berlakunya satu proses perubahan aqidah manusia dan anutannya, intima’[6] dan wala’[7]nya kepada Islam. Perubahan aqidah, intima’ dan wala’ ini telah menggerakkan mereka beramal kepada membina satu cara hidup Islam berasaskan akhlak dan budaya hidup yang berlandaskan al-Quran. Perubahan ini menjadikan mereka menolak segala fahaman jahiliyyah dan budayanya, menolak sistem dan kekuasaannya sehingga berlakulah pertembungan antara Islam dan jahiliyah. Akhirnya Allah membuka jalan kepada kemenangan setelah rasulullah sa.w. berusaha dengan pelbagai wasilah yang termampu. Dengan pengIslaman golongan `Aus dan Khazraj daripada Yathrib telah membuka lembaran sejarah baru kepada perjuangan Islam di Mekah yang membawa kepada kelahiran Kerajaan Islam Pertama . Kelahiran kerajaan Islam pertama ini telah di asaskan kepada beberapa perkara:

 

1.    Dakwah Islamiyyah dan Membina Rakyat.

 

Sesiapa yang memerhatikan proses pembentukan kerajaan Islam akan memahami bahawa; proses itu bermula dengan dakwah rasul (s.a.w.) mengajak manusia beriman kepada Allah sebagai Rab dan Ilah. Rasulullah (s.a.w.) menjelaskan hakikat Islam kepada manusia, mendidik dan membina orang-orang yang beriman dengan aktiviti pembinaan rohani seterusnya menyatukan hati-hati mereka di atas asas persaudaraan Islam yang saling bantu membantu dan berkasih sayang. Namun begitu dakwah Islam tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya telah mengasaskan batu-bata yang kukuh ke arah menampung binaan Islam selepasnya.

 

Idea pemerintahan Islam, keamanan kehidupan ummah dibawah kekuasaan Islam telah wujud di dalam pemikiran rasulullah (s.a.w.) sejak awal-awal lagi.

 

Diriwayatkan daripada Khabbab (r.a.) katanya : Aku telah bertemu rasulullah (s.a.w.) yang sedang bersandar di kelambu Ka’bah setelah kami telah menerima azab daripada Quraisy lalu aku berkata : Kenapakah tuan tidak berdoa kepada Allah ? Lalu baginda duduk, dan merah wajahnya seraya  bersabda maksudnya:

 

 Sesunggunya mereka yang sebelum kamu disikat dengan sikat besi diantara daging dan tulang mereka atau urat saraf, segalanya ini tidak menjauhkan mereka daripada agama mereka dan diletakkan gergaji ditengah-tengah kepala mereka sehingga terbelah dua, seganya ini tidak menjauhkan mereka daripada agama mereka. Nescaya Allah akan sempurnakan urusan ini sehingga seorang yang menunggang kenderaan daripada Son`a hingga ke Hadralmaut tidak akan takut melainkan Allah Azza Wa Jalla dan serigala terhadap kambingnya, tetapi kamu terburu-buru[8]

 

Fikrah membentuk Daulah Islamiah tidak terpisah daripada pemikiran rasulullah (s.a.w.) malah baginda merintis jalan kepadanya dengan membina rijal[9] sehingga mereka menjadi rakyatnya dan tenteranya sebelum berhijrah.

 

2.    Mencari Tapak ( Bumi)

 

Selepas beberapa orang daripada masyrakat Quraisy memeluk Islam, maka Islam mula tersebar di bumi Mekah. Qurasy akhirnya merasai bahaya kedatangan Islam di Mekah dan mula menyakiti umat Islam. Ramai umat Islam yang lemah disiksa supaya mereka meninggalkan agama Islam dan kembali kepada agama asal mereka. Rasulullah (s.a.w) tidak mempunyai kuasa untuk melindungi para sahabatnya daripada penyiksaan Quraisy lantas rasulullah memikirkan suatu tempat yang dapat melindungi umat Islam dan agamanya.

 

Hijrah Ke Habsyah

 

Sabda Rasulullah s.a.w. “ Sekiranya kamu pergi ke bumi Habsyah, sesungguhnya di sana terdapat seorang Raja yang tidak menzalimi sesiapapun, ia adalah bumi benar, sehinggalah Allah memberikan kepada kamu perlepasan daripada apa yang kamu rasai ini”[10]

 

Ini membuktikan bahawa hijrah ke Habsyah hanyalah sementara sehingga tertegaknya Daulah Islamiah.

 

Mencari Pertolongan daripada Qabilah-qabilah Arab.

 

Tidak ada penafsiran yang lojik apabila rasulullah (s.a.w.) menawarkan dirinya kepada kabilah-kabilah Arab dan meminta bantuan mereka melainkan difahami bahawa rasulullah (s.a.w.) sedang mencari bumi yang aman dan selamat untuk dakwah Islamiah, sehingga dapat dilaksanakan Syari`at Allah dalam kehidupan seluruhnya.

 

Al-Zuhri menceritakan bahawa rasulullah (s.a.w.)  telah menemui Bani `Amir bin Sa’sa`ah dan menyeru mereka kepada Islam dan menawarkan dirinya memimpin mereka, lalu seorang lelaki daripada mereka yang dipanggil Buhairah bin Faras berkata: Demi Allah sekiranya aku mengambil pemuda Quraisy ini nescaya aku akan dapat menguasai Arab dengannya, kemudian dia berkata kepada rasulullah (s.a.w): Apa pendapat kamu sekiranya kami mengikuti kamu diatas urusan kamu sehingga Allah mengalahkan mereka yang menentang kamu adakah kamu akan menyerahkan urusan ini kepada kami selepas kamu?

 

Sabda Rasulullah : “Urusan ini adalah urusan Allah yang akan diberikan kepada sesiapa yang disukainya”

 

Katanya, lalu dia berkata kepadanya  nabi Muhammad (s.a.w):  Apakah kami akan jadikan belakang kami sebagai sasaran Arab untuk mempertahankan kamu, maka apabila Allah memberikan kemenangan kepada kamu tetapi urusan ini diberikan kepada orang lain!! Kami tidak perlu kepada urusan kamu ini”.[11]

 

Daripada peristiwa ini dapat difahami dua perkara:

 

        · Rasulullah saw berdakwah memberi kefahaman kepada qabilah Arab dan mencari bumi dan rijal.

        · Qabilah Arab memahami hasrat rasulullah saw untuk membentuk kerajaan sebab itu mereka menuntut hak kekuasaan selepas rasulullah saw.

 

Bai`ah Aqobah

 

Peristiwa bai`ah al-`Aqobah di antara rasulullah (s.a.w.) dan golngan `Aus dan Khazraj daripada Yathrib merupakan titik tolak penting yang akhirnya mencetuskan penubuhan Daulah Nubuwwah.

 

Mengenai bai`ah tersebut telah diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah (r.a.) bahawa beliau telah berkata :

 

 “Kami berkata, wahai rasulullah di atas perkara apakah kami berbai`ah.

 

Sabda Rasulullah (s.a.w) : “ Kamu berbaiah kepadaku untuk dengar dan taat ketika cergas dan malas, Menafkahkan harta ketika senang dan susah, melaksanakan amar makruf dan nahi munkar, kamu melaksanakan tanggungjawab kerana Allah dengan tidak takut kepada celaan orang yang mencela dan  untuk menolongku, mempertahankanku sekiranya aku datang kepada kamu sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu anak-anak kamu dan isteri-isteri kamu dan bagi kamu syurga”.[12]

 

Dengan bai`ah ini rasulullah (s.a.w.) telah menyediakan tapak kepada sebuah kerajaan yang akan mempertahankannya walaupun melalui peperangan.

 

3.    Melakukan Tajmi’[13] dan Memelihara Keselamatan Ummah

 

Usaha mengumpul rijal dan membentuk mereka adalah suatu seni dan memelihara mereka adalah suatu siyasah.

 

Rasulullah (s.a.w) menyedari selepas dua tahun mengiklankan dakwah bahawa baginda tidak mampu untuk memelihara pengikutnya daripada ujian yang menimpa mereka, Pimpinan Quraisy semakin hari semakin ganas tindakan mereka, sekiranya keadaan ini berterusan sudah pasti rijal dakwah akan musnah dan akan menyekat pertambahan asas-asas rijal yang akan menjadi tunggak dan tentera  kepada daulah yang ditunggu-tunggu.

 

Lantaran itu rasulullah (s.a.w) telah mengatur 5 strategi.

 

     1.      Memelihara rahsia gerakannya dipermulaan dakwah .

     2.      Menggerakkan para pendakwah yang berkemampuan untuk melakukan dakwah dan tajmi’, seperti ;  Abu Bakar al-Siddiq dan Mus`ab bin Umair.(r.a.)

     3.      Menumpukan dakwah kepada tokoh-tokoh yang berkemampuan; dan berdoa agar mereka memeluk Islam, seperti Omar al-Khattab.(r.a.)

     4.      Berhijrah ke Habsyah bagi memelihara teras-teras dakwah.

     5.      Menghantar para sahabat agar pulang kepada Qabilah mereka dipendalaman.; Abu Zar, Tufail, dan Dhamad al-Azdi (r.a.) dari Yaman.

 

4. Hijrah ke Madinah dan Mengasaskan Daulah

 

Rasulullah (s.a.w.) telah melakukan beberapa perkara penting bagi mengasaskan pembentukan kerajaan Madinah antaranya :

 

     1.      Melakukan Bai`ah Aqobah pertama dan kedua.

     2.      Berhijrah ke Madinah apabila keadaan telah bersedia.

     3.      Mempersaudarakan di antara al-Muhajirin dan al-Ansor.

     4.      Mengadakan perjanjian dengan pendduduk Madinah dengan memetrikan Piagam Madinah.

     5.      Membina Masjid sebagai tempat ibadah dan pusat pemerintahan.

     6.      Membentuk pasukan tentera.

     7.      Menghantar pasukan sariyah di sekitar Madinah.

     8.      Mewujudkan pasukan hirasah[14] yang memelihara keselamatan rasululullah (s.a.w.)

     9.      Mewujudkan pasar untuk umat Islam.

 

5. Penyempurnaan Sistem Pemerintahan dan Perundangan.

 

Dengan perpindahan rasulullah (s.a.w.) ke Madinah maka sempurnalah unsur-unsur Kerajaan Islam dan bertepatan sebagaimana definasi sesebuah kerajaan dalam pentakrifan undang-undang perlembagaan moden.

 

Malah kerajaan Islam mula melaksanakan tugasnya sebagai sebuah kerajaan, daripada memelihara kebajikan rakyat, menyusun urusan pendidikan, menyusun urusan kewangan, melakukan perjanjian-perjanjian dengan kerajaan luar, mengutuskan duta-duta kenegara jiran melantik para umara’ dan sebaginya.

 

Apabila dilihat kepada definasi sesebuah kerajaan moden maka di dapati ianya menepati Kerajaan Islam Pertama ini iaitu:

 

     1.      Mempunyai bumi yang menjadi tempat kediaman dan dapat mempertahankan mereka daripada serangan musuh.

     2.      Wujudnya sekumpulan masyarakat manusia yang mendiami iklim tertentu yang mempunya tujuan yang sama.

     3.      Wujudnya kekuasaan politik yang menguasai masyarakat dan menyusun pentadbiran kehidupan masyarakat, ketenteraan dengan diikat diatas satu persefahaman yang tertulis iaitu Perlembagaan Madinah.

 

 

 

 

 

Pengagihan Kuasa dan Tanggungjawab Di Zaman Rasulullah (s.a.w).

 

Sesiapa yang memerhatikan sistem pemerintahan di zaman rasulullah (s.a.w.) akan mendapati bahawa ianya tertegak di atas asas pengagihan kuasa dimana rasulullah (s.a.w.) sentiasa bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara-perkara yang tiada nas.

 

Firman Allah maksudnya: “ maka dengan Rahmat daripada Allah, lembutlah kepada mereka, sekiranya kamu kasar dan keras hati nescaya mereka berpecah meninggalkan kamu, maka maafkanlah mereka, beristighfarlah untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan kamu, maka apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bertawakkal”[21]

 

Islam mengiktiraf dan memerintahkan amalan syura di dalam pemerintahan negara, ini bermakna Islam telah menghormati kuasa dan pendapat orang ramai dan kebebasan mereka malah Islam mengambil kira hak-hak kebendaan, maknawi dan akal fikiran mereka.

 

Firman Allah s.w.t.  maksudnya : “ dan urusan mereka dilakukan dengan mermesyuarat dikalangan mereka”.[22]

 

Inilah juga uslub rasulullah (s.a.w.) dalam pemerintahan sehingga baginda (s.a.w.) menegaskan bahawa :

 

 Tidaklah sesutu kaum itu bermesyuarat di antara mereka dalam urusan mereka melainkan Allah akan menunjukkan kepada mereka yang terbaik terhadap permasalahan mereka” dalam riwayat yang lain “ melainkan Allah kurniakan kepada mereka keazaman kepada petunjuk atau yang terbaaik”.[23]

 

Rasulullah (s.a.w.) bermesyuarat dengan semua rakyatnya, kerana baginda selalu bersabda:

 

 “ Berikanlah pandangan kamu kepadaku wahai sekelian manusia[24]

 

Contohnya:

 

1.    Mesyuarat sebelum peperangan Badar.

2.    Mesyuarat mengenai tawanan Badar sebelum turunnya hukuman mengenai tawanan.

3.    Mesyuarat dalam menentukan medan peperangan Uhud.

4.    Mesyuarat rasulullah saw mengenai azan.

5.    Mensyuarat Rasulullah (s.a.w.) dalam peperangan Khandak.

 

Rasulullah saw juga bermesyuarat dengan wanita dan mengambil pandangan mereka.[25]

 

Begitu juga rasulullah (s.a.w.) melarang umatnya daripada berdiam diri terhadap kemungkaran dan kesilapan:

 

Sabda rasulullah (s.a.w.) maksudnya:

 

 “ Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah diubahnya dengan tangannya, maka sekiranya dia tidak mampu ubahkanlah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu ubahlah dengan hatinya, yang demikian itu selmah-lemah iman[26]

 

Melalui nas-nas syarak ini dan amalan rasulullah (s.a.w.) para ulama telah membuat kesimpulan mengenai kekuasaan dalam Islam iaitulah kewajiban syura kepada pemerintah dan kewajiban amar makruf dan nahi munkar kepada ummah.

 

Ibnu `Atiyyah berkata: Syarak mewajibkan mesyuarat kepada pemerintah dan syura merupakan asas-asas syari`ah dan kemestian dalam hukuman, maka sesipa yang tidak bermesyuarat dengan ahli ilmu dan agama maka memecatnya adalah wajib, perkara ini tidak ada khilaf padanya”[27] Ini juga merupakan pendapat Al-Qadi Ibnu Al-Arabi al-Maliki[28] dan Al-Jassas al-Hanafi.[29]

 

 

Pentadbiran Kerajaan Nubuwwah.

 

Dalam kerajaan Islam pertama Rasulullah (s.a.w.) merupakan ketua negara yang memiliki kuasa perundangan, kuasa eksekutif dan pemegang kuasa kehakiman. Walaupun begitu rasulullah (s.a.w.) telah membahagi-bahagikan beberapa tugas dan peranan kepada beberapa orang sahabat yang dianggap sebagai wazir atau menteri.

 

Menteri-menteri.

 

Antara para menteri rasulullah saw ialah; Hamzah bin Abdul Muttalib, Jaafar bin Abdul Muttalib, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Ali bin Abu Thalib, Al-Hasan dan al-Husain bin Ali, Abdullah bin Mas`ud, Salman al-Farisi, Ammar bin Yasir, Huzaifah al-Yaman, Abu Zar al-Ghifari, Bilal al-Rabah dan Mus`ab bin Umair. (r.a.a.)

 

Setiausaha.

 

Antara setiausaha rasulullah saw ialah; Zaid bin Sabit, Ubay bin Ka`ab ( menulis wahyu) Abdullah bin al-Arqam al-Zuhri (menulis surat) dan Khalid bin Said bin al-As dan Sabit bin Qais jika ketiadaan Abdullah dan Zaid bin Sabit. (ra.a.)

 

Setiausaha Sulit.

 

Rasulullah saw juga mempunyai seseorang yang menyimpan amanah beliau iaitu Huzaifah bin Al-Yaman.(r.a.)

 

Pengganti Rasulullah ketika ketiadaannya di Madinah.

 

Apabila rasulullah saw keluar daripada Madinah sama ada untuk berperang dan sebagainya baginda akan melantik seorang peganti beliau bagi mentadbir urusan Madinah. Antara mereka ialah; Abu Lubabah, Abdullah bin Ummu Maktum, Bishr bin Munzir, Usman al-Affan, Namilah bin Abdullah, Muhammad bin Maslamah,  Abu Dujanah dan lain-lainnya. (ra.a.)

 

Peguasa Wilayah.

 

Bagi mengganti baginda mentadbir wilayah-wilayah Islam dizaman rasulullah saw , baginda telah melantik para wali atau gabnor antaranya  seperti; di Yaman, dilantik Bazan, di Hadralmaul Amru bin Hazam, di Najran Khalaid bin Said bin al-As di antara Najran dan Rafa’ Amir bin Syahr,  di Hamdan Syahr bin Bazam, di San`a’ dan di Ma’rib Abu Musa al-As`ari.(r.a.a.)

 

Manakala Muaz bin Jabal (r.a.) menjadi guru di seluruh Yaman dan Hadralmaut.

 

Di Mekah, `Itab bin Usaid dan Daus, Sa`ad bin Abi Ziab diTaif, Saad bin Abdullah di Bahrain Al-`Ala’ bin al-Hadrami dan Abdullah bin Suwar di Khurasan, Abdul Rahman bin Abzi al-Khuza`i (r.a.a.)

 

Di Najran, Amru bin Hizam al-Ansori (r.a.)

 

Pemantauan Tugas Gabnor.

 

Al-Bukhari meriwayatkan , Daripada Abi Hamid al-Si`idi katanya : Rasulullah (s.a.w.) telah melantik seorang lelaki bani Asad yang dipanggil Ibnu  al-Latbiah, untuk urusan Zakat: Apabila beliau datang kepada rasulullah saw dia berkata: Ini untuk kamu dan ynag ini hadiah kepadaku lalu rasulullah saw bangun di atas minbar dan memuji Allah dan bersabda: Apakah diingat oleh seorang `amil yang kami lantik lalu dia datang dan berkata: ini untuk engkau dan yang ini untuk aku, Adakah sekiranya dia duduk dirumah ibunya dan bapaknya, maka lihatlah adakah akan diberi hadiah kepadanya atau tidak..?[30]

 

Diplomat

 

Diamping memelihara kemaslahatan ummah Islamiah baginda juga merupakan tuan punya dakwah dan risalah, lantaran itu di dapati rasulullah saw mempunyai hubungan antara kaum dan antarabangsa.

 

Lantaran itu baginda memilih dikalangan sahabatnya yang berkelayakkan dan berkemampuan yang diambilkira sehinggakan kepada rupa paras dan jiwa. Untuk urusan ini rasulullah (s.a.w.) memilih seorang yang, fasih lidahnya, akal yang bijak, kuat hujjah dan pantas, rupa yang baik dan penampilan yang mengkagumkan.

 

Contohnya : Dahiah al-Kalabi (r.a.) yang diutuskan kepada Qaisar, seorang yang tampan dan fasih.

 

1.    Utusan kepada al-Najashi, Habsyah, Amru bin Umayyah al-Dhumairi (r.a.).

2.    Utusan Kepada Hercules, Rom, Dahiah bin Khalifah al-Kalabi (r.a.).

3.    Utusan Kepada Meqauqus Qibti, Mesir, Hatib bin Abi Balta`ah. (r.a.)

4.    Utusan kepada Kisra, Farsi, Abdullah bin Huzafah (r.a.)

5.    Utusan ke Raja Amman, `Amru bin al-As. (r.a.)

 

Ketenteraan.

 

Rasulullah (s.a.w.) juga telah memperlengkapkan ketenteraan dengan seni peperangan, mempelajari menggunakan senjata dan ujian bagi memilih yang berkelayakan.

 

Memilih pimpinan tentera.

 

Rasulullah saw memimpin sendiri 28 peperangan.

 

Disamping itu rasulllah (s.a.w.) juga memilih ketua-ketua tentera tertentu:

 

1.    Hamzah bin Abdul Muttalib (r.a.), ketua Sariah untuk menawan kafilah Quraisy.

2.    Ubaidah al-Haris (r.a.), ketua sariah kepada perdagangan Quraisy.

3.    Saad bin Abi Waqqas (r.a.), ke jalan Mekah dan Syam.

 

Panglima dan Pemegang Bendera Perang.

 

Ali Abu Talib (r.a.)  dan Umairah bin Hasyim (r.a.),  pemegang bendera al-Muhajirin Saad bin Abi Qaqqas (r.a.), memegang  bendera al-Ansor . Mus`ab bin Umair (r.a. ), memegang  bendera umum di Badar dan Uhud.

Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah dan Khalid al-Walid (r.a.a.) , Pemimpin peperangan Mu’tah.

Omar AL-Khattab (r.a.), memimpin tentera memerangi Hawazin.

 

 

Industri dan Strategi Peperangan.

 

Dizaman rasulullah (s.a.w.) terdapat perbagai  senjata dan strategi peperangan diambil yang tidak pernah diketahui oleh orang-orang Arab sebelumnya iaitu seperti:

 

Menggali Khandak (parit) yang digunakan di Farsi. Membuat Manjanik ( lastik besar)  dan membuat kereta perisai dalam memerangi Taif.

 

Kawalan Dalam Negeri.

 

Dilakukan secara sukarela dan tersusun.

 

Pendidikan

 

Terdapat pelbagai kaedah pengajaran dan pendidikan dizaman rasulullah (s.a.w) antaranya:

 

           · Sistem nuqaba’

· Mengajar di Masjid.

· Mengajar antara qabilah yakni sesuatu qabilah belajar dengan qabilah lain

· Pengajian khas untuk kaum wanita.

· Menjadikan tawanan sebagai guru

           · Mengutuskan kumpulan ulama Katibah Ulamak ke kawasan-kawasan Islam.

           · Pengajaran kepada jiran.

Rawatan Perubatan.

 

Doktor-doktor di zaman rasulullah (s.a.w) ialah  Rasulullah (s.a.w.) sendiri dan, Aisyah (r.a.)

Antara yang merawat kecederaan; Rufaidah al-Ansoriah al-Aslamiah, Ka`ibah binti Saad, Laila al-Ghifariah, Muazah al-Ghifariah, Ummu Aiman dan Ummu Sinan al-Aslamiah.(r.a.a.)

 

Kuasa Perundangan dan Kehakiman.

 

Perundangan dizaman rasulullah (s.a.w) hanyalah Kepada Allah dan Rasulnya.

 

Hakim di Zaman Rasulullah.

 

Antara hakim-hakim dizaman rasululllah (s.a.w.) Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Muaz bin Jabal, Abu Musa al-Ashari dan `Itab bin Usaid. (r.a.a.)

 

Kediaman Tetamu ( Hotel).

Sebagai memuliakan tetamu daripada luar Madinah sama ada dikalangan umat Islam atau lainnya, rasulullah (s.a.w.) telah menyediakan khemah untuk penginapan tetamu tersebut. Selain tenpat penginapan mereka juga dijamu dengan makanan dan bekalan hadiah ketika berangkat pulang.

Penutup.

 

Semuga dengan huraian ringkas mengenai siyasah syar`ieyyah ini akan menjadikan pembuka jalan kepada pembaca sekelian bagi mendalami lagi persoalan pemerintahan dalam Islam. Ilmu berkenaan siyasah syar`ieyyah ini bukanlah hany terpakai dalam kerajaan semata-mata bahkan amat perlu diperaktikkan dalam mentadbir apa juga organisasi supaya bertepatan dengan tujuan syarak.

[1] Lihat Surah ,al-An`am; ayat 125 dan Surah  Sad ayat 26.

[2] Lihat Surah al-Anbiya ayat 78 dan al-Naml ayt 15-44.

[3] Lihat Surah Yusuf ayt 56, dan al-Kahf, ayat 84.

[4] Lihat surah al-Anbiya, ayat 107.

[5] Dr. Fathi Abd.Karim, Al-Daulah Wa al-Siadah,  Maktabah Wahbah, m.s.151

[6] Anutannys

[7] ketaatan dan kasih-sayang

[8] Riwayat Al Bukhari, lihat juga Seerah Ibnu Katsir.

[9] Rijal ialah manusia yang memiliki sifat-sifat kelelakian yang  sebenar berani, benar, gagah, bertanggungjawab dan sebagainya.

[10] Seerah Ibnu Hisyam.

[11] Ibnu Katsir: Seerah Nabawi.

[12] Ibn Hajar, Fath al- Bari.

[13] Tajmi’ : menyatukan umat Islam atas asas persaudaraan dan saling  tolong menolong

[14] Pengawal

[15] `Aqilah ialah dasar takaful antara ahli qabilah bagi melangsaikan bebanan membayar diat dalam hukuman membunuh tanpa niat.

[16] Al-Ghazali; al Iqtisad fi al I’tiqad, Mesir , Percetakan al Mahmudiah.

[17] Surah Yusuf; ayat 55.

[18] Surah al-Baqarah, ayat 247.

[19] Riwayat al-Hakim, lihat juga Ibnu Taimiah, Siyasah Syar`ieyyah

[20] Al-Bukhari.

[21] Surah Ali Imran, ayat 159.

[22] Surah al-Syura, ayat 38.

[23] Ibnu Hajar al-`Asqalani, Fathul Bari

[24] Al-Tirmizi.

[25] Ibnu Qutaibah, Uyun al-Akhbar

[26] Al-Tabrani, Al-Hakim dan katanya sanadnya soheh.

[27] Abdul Hak bin Ghalib bin `Atiyyah al-Andalusi, Al-Muharrar Al-Wajiz Fi Tafsir Al-Kitab Al-`Aziz, Tahqiq Abdullah Al-Ansori

[28] Ibnu Al-Arabi, Badai’ al-Suluk Fi Tabai’ al-Muluk.

[29] Al-Jassas, Ahkam al-Quran

[30] Fathul Bari


2 Tanggapan to “9. Pembentukan Daulah Nubuwwah”


Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: