9.3 Institusi Perlaksana

Syariat Islam yang terkandung di dalam al-Quran, merupakan sistem hidup yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Maka adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk melaksanakannya mengikut fitrah kemanusiaannya. Rasulullah (s.a.w ) telah berusaha membentuk daulah Islam Madinah melalui membina ummah dan memperlengkapkan mereka melalui proses tarbiyah sehingga mereka mampu meneruskan tanggungjawab baginda setelah kewafatannya.

Institusi pelaksana kepada syari`ah Islam terdiri daripada Khalifah yang dipilih oleh ummat Islam dan pembantunya bagi melaksanakan amanah Allah kepada mereka.

·      Kuasa Perundangan Tertinggi

Tidak ada perselisihan ulama’ bahawa kuasa tertinggi perundangan dalam pemerintahan Islam adalah kembali kepada Allah S.W.T. Semua dasar dan sistem yang hendak dilaksanakan hendaklah tidak bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Lantaran itu al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah (s.a.w.) merupakan rujukan asasi dalam memahami asas-asas pemerintahan Islam.[1]

Penyerahan hak hakimiyyah kepada Allah akan menjamin tercapainya hak-hak kebebasan manusia, kemuliaan dan kemaslahatan mereka. Sebaliknya menyerahkan hak ini kepada manusia merupakan satu penyekutuan pada hak rububiyyah Allah yang merupakan al-Malik atau pemerintah manusia. Malah penyerahan kuasa ini kepada manusia akan menjadikan manusia ditindas dan diperhambakan oleh manusia sendiri dalam mengejar wawasan keduniaan dan hawa nafsu mereka.[2]

Golongan yang bertanggungjawab memikul tugas perundangan ini ialah para mujtahid dan para mufti. Di zaman Khulafa ar-Rasyidin, khalifah akan mengumpulkan sahabat-sahabat besar untuk bermesyuarat dalam menentukan sesuatu hukum yang hendak diputuskan. Para ulama’ mengistilahkan mereka ini sebagai ahli al-halli wa al-aqd.[3]

Umat Bertanggungjawab Melaksanakan Syariah

Manusia merupakan wakil Allah di muka bumi ini di dalam menyampaikan syari‘at-Nya kepada manusia dan melaksanakannya melalui kuasa ijtihad. Kuasa ijtihad ini digunakan untuk memahami hukum-hukum Allah, menentukan batas-batas halal haram, menggariskannya kewajiban dan menyusun kehidupan manusia berasaskannya.

Untuk melaksanakan tanggungjawab ini perlu wujud kuasa pelaksana yang dilantik oleh umat sebagai wakil mereka di dalam menyusun pentadbiran umat ke arah melaksanakan syariat Allah bagi mencapai kemaslahatan mereka di dunia dan akhirat.

Oleh itu perlantikan kuasa pemerintahan merupakan tuntutan syarak dalam menerajui umat manusia ke arah yang diredai Allah S.W.T.

 

Kuasa Eksekutif- Khalifah

Takrif Khalifah.

Khalifah, Imamah al-Udzma, atau Amir al-Mukminin merupakan perkataan seerti yang menunjukkan kepada kepimpinan tertinggi dalam pemerintahan Islam. Para ulama’ telah mentakrifkan maksud perkataan khalifah dengan pelbagai takrif yang mempunyai makna yang sama.

Al-Dahlawi berkata: “Al-Khalifah: Ialah kepimpinan tertinggi yang bertanggungjawab menegakkan agama dengan menghidupkan ilmu-ilmu agama, menegakkan rukun-rukun Islam, melaksanakan jihad dan segala yang berkaitan dengannya seperti menyusun tentera, menyediakan segala keperluan untuk peperangan, membahagikan al-fai’, melaksanakan tugas kehakiman, melaksanakan hudud, menghilangkan kezaliman melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar sebagai menggantikan tugas Nabi(s.a.w.).”[4]

Al-Mawardi Berkata: “Al-Imamah: Di letakkan sebagai pengganti Nabi untuk memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama.”[5]

Ibn Khaldun menjelaskan tugas Imamah dengan katanya: Ia adalah memimpin keseluruhan umat mengikut pandangan syarak untuk kemaslahatan mereka dunia dan akhirat: Kerana seluruh urusan dunia di sisi syara’ akan kembali kepada kemaslahatan akhirat. Maka khalifah pada hakikatnya bermaksud menggantikan Tuan syariat (Allah) untuk memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama.[6]


[1] Wahbah Al-Zuhaili; Fiqh Islami Wa Adillatihi, Damsyik, Dar al-Fikr (1985) hal.651.

[2] ibid.

[3] Ibid, lihat juga Abdul Wahab Khallaf, op.cit hal 43.

[4] Sadik Hassan Khan : Iklil al-Kiramah Fi Tibyan Maqasid al-Imamah, hal.22

[5] Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyah, Kaherah, hal. 3.

[6] Ibn Khaldun; al-Muqaddimah, hal.191.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: