2. Pengantar

Pengantar.

 

Islam merupakan satu al-Din; sebagaimana ditakrifkan oleh Imam al-Banna:

 

 “ Islam adalah sistem hidup yang menyeluruh yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Islam adalah negara dan tanahair atau pemerintah dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.Islam adalah kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana ia adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sah, sama sahaja”. [1]

 

Sistem politik adalah sebahagian daripada Islam yang syumul, namun begitu sistem politik yang berasaskan kepada syarak adalah berbeza dengan sistem politik masa kini yang berasaskan kepada fahaman sekular. Pendedahan kepada sistem politik Islam merupakan suatu perkara asas kepada masyarakat ke arah memahami hakikat pemerintahan Islam. Politik Islam dalam istilah fuqaha’ ialah siyasah syariyyah.

 

Perkataan siyasah pada penggunaannya di sudut bahasa bermaksud:

 

 `mentadbir sesuatu perkara dengan baik’ atau ` pemerintah mentadbir urusan rakyat’.[2]

 

Para fuqaha’ pula mentakrifkannya sebagai :

 

 “Tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya”.

 

 Dalam penakrifan lain

 

“ Menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut  ketentuan syarak”.

 

Kebanyakan  tulisan yang berkaitan dengan siyasah syar`iyyah mendefinasikan pengertian siyasah dengan definasi yang tidak lari daripada kedua-dua penakrifan di atas.

 

Oleh itu ilmu siyasah syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang  berasaskan kepada asas-asas Islam atau sebagaimana pernyataan Abdul Wahab Khallaf:

 

“Mentadbir urusan umum bagi daulah Islamiah dengan perkara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan kemudaratan daripada mereka dengan tidak melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliah  walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama’ mujtahidin”.[3]

 

Kandungan perbincangan siyasah syar`iyyah ialah sistem, peraturan dan undang-undang yang diperlukan dalam urusan sesebuah negara yang bertepatan dengan asas-asas agama dan dapat mencapai kemaslahatan kepada manusia dan dan menunaikan segala keperluan mereka.

 

Perbincangan ulama-ulama silam mengenai siyasah syar`iyyah dalam kitab-kitab mereka adalah bertujuan untuk menjelaskan kepada pemerintah ketika itu khususnya dan kepada ummah amnya mengenai ilmu-ilmu pentadbiran Islam sebagaimana Abu Yusuf menulis kitab al-Kharaj, al-Juwaini menulis kitab al-Ghiyasi, Ghiyas al Umam Fi Tayas Ahl al-Dzalam, al-Mawardi menulis kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Taimiyyah menulis Siyasah Syar`iyyah Fi Ra`i wa al-Ra`iyyah, Ibn Qayyim menulis kitab Turuk al-Hukmiyyah, Ibn Jamaah menulis kitab Tahrir al-Ahkam Fi Tadbir Ahl al-Islam dan begitu juga ulama mutakhir seperti Abdul Wahhab Khallaf menulis kitab Siyasah Sayariyyah Fi Syuun Al-Dusturiyah wa al-Kharijiah wa al-Maliyah. 

 

Perbezaan corak penulisan ulama silam dan penulisan ulama mutakhir ialah pendekatan ulama silam lebih detail sebaliknya penulisan ulama mutakhir lebih kepada menjadi pengantar dan menonjolkan fakta sejarah dengan menekankan bahawa siyasah syar`iyyah boleh dilaksanakan dan perlu dijadikan asas pemerintahan yang adil disepanjang masa.

 


[1] Hassan al-Banna; Risalah al-Ta’lim.

[2] Mu’jam al-Wajiz, Majma’ Al-Lughah al-Arabiyah (1980) .

[3] Abdul Wahab Khallaf : Siyasah Syar`iyyah Aw Nizam al-Daulah Islamiyah Fi Syuun al-Dusturiyah wa al-Kharijiah wa al-Maliyah; Kaherah, Dar al-Ansar,  m.s. 18

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: