7.1. Perlantikan Khalifah

Hukum Melantik Khalifah

Jumhur ulama’ Islam (ahli as-Sunnah, al-Murjiah, Syi’ah, Mu’tazilah dan Khawarij) kecuali beberapa orang daripada Mu’tazilah dan Khawarij berpendapat bahawa hukum melantik Imam bagi mentadbir negara adalah wajib.[1] Ianya wajib dengan ijma’ sahabat apabila tiada sesuatu yang menghalang daripada perlantikannya.[2] Apabila thabit kewajiban melantik imam maka kewajibannya ialah fardu kifayah. Hukumnya sama seperti jihad dan menuntut ilmu. Apabila orang yang layak telah memikulnya maka gugurlah kewajiban daripada orang lain.[3] Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat pada sumber yang membawa kepada kewajibannya.[4]

1.  Al-Asy‘ariyah, Mu’tazilah dan ‘Atrah  berrpendapat bahawa kewajiban melantik Imam adalah bersumberkan kepada nas syara’ bukan hukum akal, kerana Imam melaksanakan tugas syara’.

2.  Sebahagian Syiah Imamiyah dan Zaidiah berpendapat bahwa kewajiban melantik Imam adalah berdasarkan hukum akal.

3.  Manakala pendapat al-Jahidz, al-Ka’bi, al-Balkhi, al-Hasan al-Basri dan Abu Hasan daripada Mu’tazilah adalah berdasarkan dalil akal dan syara’.

4.  Pendapat Syiah Imamiah dan al-Ismailiah bahawa melantik Imam bukan kewajiban kita tetapi ia dilakukan oleh Allah S.W.T.

Manakala golongan Khawarij berpendapat bahawa tidak wajib melantik Imam pada asalnya malah ianya termasuk di dalam perkara yang harus.

Ada di kalangan mereka yang berpendapat bahawa wajib melantik Imam ketika suasana tidak membawa kepada fitnah sebagaimana pendapat Hisyam al-Khuti dan pengikutnya.

Manakala sebahagian yang lain pula seperti Ubay al-`Asam dan pengikutnya berpendapat sebaliknya dengan mengatakan wajib melantik imam ketika berlaku fitnah dan tidak wajib pada waktu aman.

Huraian Hukum Melantik Khalifah

Hukum melantik Imam adalah wajib menurut pendapat kebanyakan ulama’. Ia termasuk di dalam kategori fardhu kifayah. Hukumnya didapati daripada ijma’ para sahabat dan tabi‘in. Lantaran itulah para sahabat Rasulullah (s.a.w.) bersegera ke majlis perlantikan khalifah sehinggakan dengan sebab kesibukan itu mereka meninggalkan majlis menguruskan jenazah Rasulullah (s.a.w.).

Dalam masalah ini Imam Ibnu Taimiah mengatakan:

“Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajiban agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”[5]

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

 

“Apabila tiga orang keluar bermusafir maka lantiklah ke atas mereka seorang untuk menjadi ketua.” (Abu Daud)

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

 

“ Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka seseorang sebagai ketua.”  (Imam Ahmad)

Kewajiban melantik seorang ketua di dalam perhimpunan yang sedikit kerana bermusafir menunjukkan bahawa wajib melantik pemimpin di dalam perhimpunan yang lebih besar.

Kerana Allah S.W.T. telah mewajibkan muslimin untuk menyuruh manusia melakukan ma’ruf dan mencegah sesuatu yang mungkar dan ianya tidak akan sempurna melainkan dengan kekuatan dan kepimpinan. Begitulah segala yang diwajibkan oleh Allah seperti jihad, menegakkan keadilan, menunaikan haji, sembahyang Jumaat, perayaan, menolong golongan yang dizalimi dan melaksanakan hudud yang segalanya ini tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan pemimpin.

Dalil-Dalil Mengenai Kewajipan Melantik Khalifah.

1. Diriwayatkan secara mutawatir mengenai kesepakatan kaum muslimin di zaman awal Islam selepas kewafatan Rasulullah (s.a.w.) yang dinamakan sebagai Ijma’ Saqifah Bani Sa‘edah bahawa tidak boleh berlaku kekosongan pada jawatan khalifah walaupun seketika. Abu Bakar (r.a.) berkata: “Ketahuilah bahawa Muhammad telah wafat, dan tidak dapat tidak mestilah agama ini ada orang yang melaksanakannya.”

2. Kaedah   Syarak.

Melantik Imam dapat menghilangkan kemungkinan berlaku kemudharatan kepada umat. Menghalang kemudharatan adalah wajib.

3. Menegakkan dan melaksanakan maqasid syara’ juga tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa Imam.

4. Mewujudkan kesatuan umat.

5. Nas-nas al-Quran yang mewajibkan pelbagai hukum tidak akan terlaksana tanpa adanya khalifah antaranya:

– Ayat berhukum dengan apa yang diturunkan Allah

– Ayat-ayat berkaitan syariat hudud

– Ayat-ayat berkenaan kewajipan berjihad

6. Hadis-Hadis.

 

“Tidak halal bagi tiga orang yang berada di suatu tempat melainkan hendaklah dilantik seorang menjadi pemimpin kepada mereka.”

 

“Apabila tiga orang keluar bermusafir maka lantiklah seorang daripada mereka sebagai ketua.”

 

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas rakyatnya.”

 

“Sesiapa yang mati dan tengkuknya tidak terikat dengan bai’ah maka matinya sebagai mati jahiliyyah.”

 

“Sehari bagi Imam yang adil lebih baik daripada beribadah enam puluh tahun.”



[1] Al-Dahlawi: Hujjatullah al-Balighah, Al-Mawardi, op.cit.

[2] Al-Juwaini: al-Ghiyasi, Tahqiq Abdul Azim al-Dib, Qatar hal.23.

[3] Al-Mawardi;op.cit.

[4] Al-Zuhaili, op.cit hal.665.

[5] Ibn. Taimiyyah : Siyasah Syar`ieyyah Fi al-Ra`I wa al-Ra`ieyyah.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: